Status Quo Di Bukit dan Sungai
A Kadir JasinBARISAN Nasional gagal menawan kembali dua bukit –Parlimen Bukit Gantang, Perak dan DUN Bukit Selambau, Kedah – dalam pilihan raya kecil semalam.
Pas dengan mudah mempertahankan Bukit Gantang manakala Parti Keadilan Rakyat berjaya mengekalkan Bukit Selambau, tetapi gagal merampas DUN Batang Ai, Sarawak.
Keputusannya – BN satu, Pas satu dan PKR satu. Bagi BN, ini adalah kekalahan pilihan raya kecil keempat sejak pilihan raya umum 2008. Sebelum ini, BN kalah kerusi Parlimen Permatang Pauh (kerusi PKR) dan kerusi Parlimen Kuala Terengganu (kerusi BN).
Peralihan kuasa negara daripada Abdullah Ahmad Badawi kepada Mohd Najib Abdul Razak pada 3 April lalu belum meyakinkan majoriti pengundi bahawa BN, khasnya Umno, sudah berubah.
Untuk berlaku adil kepada Mohd Najib, kita perlu mengakui bahawa adalah mustahil bagi beliau memperbaiki keadaan kucar-kacir selama lima tahun lima bulan di bawah kepemimpinan Abdullah, dalam masa lima hari.
Malangnya, Mohd Najib tidak mempunyai lima tahun untuk memperbaiki keadaan. Paling lama dia hanya ada empat tahun sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan.
Dalam ucapan dasar di Malam Wartawan Malaysia pada 6 Mac, Mohd Najib menjanjikan ketelusan dan prestasi – transparency and performance.
Di manakah ketelusan dan prestasi lebih penting kalau tidak dalam pembentukan Kabinet?
Jadi dalam bahasa yang mudah, kita mintalah Mohd Najib memilih barisan yang berwibawa dan bukan yang popular. Jangan sekali-kali dipertimbangkan mereka yang menang kerana politik wang.
Daripada angin yang bertiup kencang, suasana masih tegang. Lembaga Disiplin Umno masih meneropong, menyelak dan menimbang. Manalah tahu kalau ada banyak lagi musang dan petualang.
Pilih yang berintegriti bukan yang hanya pandai ambil hati Perdana Menteri suami-isteri. Atau yang berkata, wahai YAB Datuk Seri akulah yang paling setia, pilihlah aku demi agama, bangsa dan negara.
Kaki ampu memang banyak. Dulu asak bertubi-tubi. Tapi sekarang kalau cakap hanya yang enak-enak. Datuk Seri sana, Datuk Seri sini. Biasalah tu, kaki pengampu memang tak tahu malu.
Tengok apa jadi dengan Mantan Perdana Menteri. Bukan yang terbaru, tetapi yang sedikit terdahulu. Sebulan dua lalu dibenci dicaci keji.
Sekarang bila dah masuk Umno kembali, diberi pintas terus oleh TV maka banyaklah yang nak cium kaki. Macam geng-geng yang dengar Dr Mahathir senegeri.
Kaki ampu ibarat pagar yang makan padi, haruan yang makan anak dan tikus yang perbaiki labu – dalam bahasa yang mudah, satu sen pun tak laku.
Tentang integriti, tak payahlah pasang potret tinggi-tinggi. Apa mesejnya potret Perdana Menteri, Timbalan dan Menteri Pelancongan di papan iklan Zoo Negara?
Kalaupun politik macam zoo, takkanlah itu pun nak bagi rakyat jelata tahu? Pakailah gambar orang utan atau ungka. Budak-budak tengok tentulah suka.
“Mak, jom pi Zoo Negara. Kita tengok orang utan dan ungka!”
Tak payahlah habiskan duit rakyat jelata letak muka pada iklan Zoo Negara walaupun ada menteri diberi jolokan badak, gajah dan kera.
Kata orang putih, “no self-aggrandizement please.” Melayu kata, lebih kurang, “tak payahlah masuk bakul angkat sendiri.” Orang benci.
Orang keliru. Potret Perdana Menteri, lirik lagu Negaraku. Apa kena mengena Perdana Menteri dengan lagu kebangsaan ibu pertiwi? Pakai gambar Seri Paduka barulah kena. Menteri janganlah asyik syok sendiri.
PM dah mulakan jalan-jalan (walkabout) di ibu negara. Teruskan. Rakyat di desa, di rancangan tanah, di rumah panjang Sarawak dan di desa pedalaman Sabah pun tentu nak berjumpa juga.
Jangan jadi hangat-hangat tahi ayam. Macam dulu-dulu tu. Serbu Pejabat Imigresen sekali lepas tu senyap sepi.
Bila Perdana Menteri pergi jalan-jalan, janganlah pula dibuat sarkas media atau upacara untuk kakitangan awam bermuka-muka. Tak payah bagi tahu media dan jangan benar pengilat epal buat kacau sampai rakyat jelata terpulau.
Ini kesempatan Perdana Menteri bersama rakyat jelata, berbual mesra dari hati ke hati. Bukan untuk orang politik dan korporat tumpang sekaki cari populariti.
Rakyat jelata tidak ada wang berjuta. Tidak pun pandai melakar cerita. Tetapi di tangan mereka ada undi yang menentukan siapa hidup dan siapa mati.
http://kadirjasin.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment