PKR cari pengganti Mohd Fairus |
Apr 8, 09 3:15pm |
PKR Pulau Pinang akan mengumumkan secepat mungkin calon timbalan satu ketua menteri bagi menggantikan Mohammad Fairus Khairuddin yang melepaskan jawatannya hari ini. Mohammad Fairus, yang kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa, juga meletakkan jawatan exco negeri dalam suratnya 2 Mac lalu. Beliau dijangka mengekalkan ADUN parti itu bagi Penanti walaupun terdapat ura-ura akan meninggalkannya menjadi wakil rakyat bebas. PKR bagaimanapun menafikan kemungkinan itu. Ketua perhubungan parti itu Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata beliau akan berbincang dahulu dengan pemimpin tertinggi PKR dan Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengenai calon yang sesuai, lapor Bernama. "Kita akan berbincang mengenai perkara ini dalam beberapa hari lagi," katanya. Zahrain menambah, beliau masih yakin pada Mohammad Fairus dan turut menafikan akan berlaku pilihanraya kecil di kerusi DUN tersebut. Sementara itu, agensi berita yang sama melaporkan, SPRM mengesahkan menerima kertas siasatan berhubung kes membabitkan Mohammad Fairus hari ini. "Saya baru terima hari ini dan akan teliti dulu kertas siasatan itu. Saya perlu lihat sama ada kertas siasatan itu lengkap atau tidak. "Sekiranya masih tidak lengkap ia akan dikembalikan kepada SPRM Pulau Pinang untuk dilengkapkan, jika sebaliknya ia akan diserahkan terus kepada pendakwaan," kata pengarah siasatan suruhanjaya itu Datuk Shukri Abdull kepada Bernama. Tambahnya, SPRM juga tidak dapat menetapkan tarikh tertentu kertas siasatan itu akan dihantar kepada pihak pendakwaan. "Saya cuba secepat mungkin untuk menyelesaikan kes ini kerana semua pihak sedang tertumpu pada kes ini," beliau dipetik berkata. Shukri turut menafikan khabar angin bahawa SPRM menyerbu rumah Mohammad Fairus dan meminta semua pihak termasuk media agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu memandangkan ia masih dalam siasatan. |
Wednesday, April 8, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment