Sahabat

Wednesday, April 15, 2009

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN USAHAWAN: ELEGANT SILENT NAJIB?

Sehingga saya membuat posting ini, kerajaan belum secara rasmi menjelaskan rasional pembubaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta penyusunan semula program pembangunan usahawan Bumiputera walaupun Timbalan Perdana Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan berbuat demikian.

Satu minggu bukanlah tempoh yang singkat. Sepatutnya kerajaan tidak perlu menunggu selama itu untuk menjelaskan perkara tersebut selepas Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak menamakan kabinetnya.

Adakah Najib juga kini menggunakan pendekatan "elegant silent" seperti yang pernah diungkapkan oleh Tun Musa Hitam kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi?

Apabila kerajaan berlengah-lengah menjelaskan isu ini, maka rakyat bercakap melalui blog, Facebook, forum internet, coffee house dan warung kopi tepi jalan mengenai kepimpinan dan komunikasi dengan rakyat.

Mereka yang ingin melihat perubahan dari kepimpinan dulu menjadi gelisah kerana Najib juga menggunakan pendekatan "elegant silent" seperti Abdullah.

Saya berpendapat Kementerian Pembangunan Usahawan bukan sahaja perlu dikekalkan, malah dimantapkan. Ramai yang bercakap mengenai peranan kementerian itu membangunkan Bumiputera dan saya tidak ingin mengulanginya lagi.

Bagi saya, Kementerian Pembangunan Usahawan penting dalam konteks membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, atau ini disebutkan sebagai "employment creation". Betul, peranan-peranan ini boleh juga diambilalih oleh kementerian-kementerian lain. Namun, usaha ini akan lebih terarah dan tertumpu dengan adanya Kementerian Pembangunan Usahawan.

Apapun, reaksi rakyat mengenai pemansuhan ini cukup negatif. Keputusan poll di blog ini saya fikir dapat memberikan sedikit gambaran mengenai pandangan rakyat. Mereka mempunyai alasan tersendiri bagi menentangnya. Betul atau salah, itu soal lain. Isu besar di sini rakyatlah yang akan membuat keputusan dalam PRU13 nanti dan dalam konteks itulah pandangan mereka harus diraikan.

Apabila rakyat memberikan reaksi negatif, maka kerajaan harus bertindak dan menukar pandangan tersebut. Saya tidak fikir ada kaedah lain yang lebih baik selain berkomunikasi dengan rakyat mengenainya.

Sewaktu mengumumkan kabinetnya, Najib berjanji akan responsif terhadap pandangan rakyat. Kalau begitu, saya fikir sekarang ialah masa yang patut untuk beliau berbuat demikian.

Rakyat menolak pendekatan kepimpinan "elegant silent" Abdullah.

Hendaknya Najib tidak mengulangi kesilapan yang sama dengan melengah-lengahkan penjelasan mengenai isu pembubaran Kementerian Pembangunan Usahawan ini

http://nobisha.blogspot.com/2009/04/kementerian-pembangunan-usahawan_15.html

0 comments:

Related Posts with Thumbnails