Penonton merusuh di Kota Bharu
Perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Kelantan, NS tercemar
NEGERI Sembilan mencerahkan peluang mara ke final Piala FA selepas menewaskan Kelantan 1-0 di Stadium Sultan Mohamed ke-IV, malam tadi dalam perlawanan yang tercemar dengan insiden serangan pada akhir perlawanan dan keganasan penonton di luar stadium.
Penjaga gol tuan rumah, Halim Napi dilihat meluru ke arah Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak lalu menumbuk dan memijak pertahanan Negeri Sembilan itu sebelum dileraikan oleh rakan sepasukannya dalam saingan separuh akhir pertama.
Keadaan turut bertambah buruk di luar stadium apabila sebuah kenderaan polis diterbalikkan sebelum dibakar selain cermin beberapa kereta dipecahkan oleh sekumpulan penonton yang kurang berpuas hati.
Ini kekalahan kedua berturut-turut tuan rumah kepada pelawat selepas tunduk 2-1 saingan Liga Super 31 Mac lalu - sekali gus meletakkan mereka dalam keadaan sukar menjelang pertemuan kedua pada 18 April ini.
Di Kota Bharu, Kelantan dikejutkan seawal minit ketujuh menerusi Zaquan Adha Abdul Radzak berpunca daripada kesilapan Azlan Zainal yang gagal menguasai bola dalam kawasan sendiri.
Ketinggalan satu gol, Kelantan cuba bangkit menyamakan kedudukan dan peluang terbaik mereka hadir pada minit ke-13 tetapi sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin dari luar kotak penalti sedikit melepasi palang gol lawan.
Walaupun berbekal sokongan padu kira-kira 20,000 penonton, Kelantan seolah-olah kehilangan punca ketika pasukan Negeri Sembilan lebih banyak menguasai perlawanan.
Usaha Kelantan mencari jaringan penyamaan pada babak kedua tidak kesampaian, apabila percubaan Indra dan kapten pasukan, Badhri Radzi pada minit ke-46 dan 74 sekadar menggegar palang gol lawan.
0 comments:
Post a Comment