Sahabat

Friday, April 10, 2009

Kementerian Teknologi Hijau, Apa Barang?

Mak Cik Musalmah Lebar pun sekonyong-konyongnya bertanya, "Zal, apa barang teknologi hijau tu?"

Mula-mula saya malas melayan, jadi saya angkat bahu. "Eh, kau ni buat nama je sasterawan. Menang sana sini, itu pun kau tak tahu. Apalah kau ni!"

Oleh kerana sakit hati diprovokasi begitu saya pun menjawab, "Kalau tak silap teknologi hijau tu teknologi ekologi. Kenapa?"

Mak Cik Musalmah Lebar tarik nafas, "Bukan apa. Masa Kak Dah ada dulu dia ada pesan hijau-hijau ni jangan buat main. Kita merah. Hijau jangan kasi muka. Tup-tup hijau jadi nama Kementerian. Seram sejuk aku bila dengar tadi. Biar benar. Tak boleh ke ubah teknologi hijau tu jadi teknologi merah ke?"

Saya angkat bahu. "Barang dah hijau nak suruh tukar jadi merah pun tak kena juga. Ada barang Tuhan dah memang cipta macam tu lah Kak Sal."

"Ala, boleh. Kita kan boleh ubah benda jadi ikut kehendak kita."

Saya buat muka, inilah namanya Mahathirisme dalam definisi paling mudah.

"Hah cuba kau explain kat aku ni, apa dia teknologi ekologi tu?"

Saya hela nafas, payahnya lah nak memahamkan 'mak cik merah' seorang ni: "Teknologi hijau tu kita boleh ubah sampah jadi tenaga, katakan tenaga elektrik. Jadi alam sekitar lebih bersih. Kerana itulah namanya hijau. Barang bersih dikaitkan dengan warna hijau. Barang merah dikaitkan dengan darah, marah, panas, tak puas hati...err macam nuklear ke, bom ke..."

"Tak paham aku." Mak Cik Musalmah Lebar getap bibir.

Bersungguhlah saya menjadi cikgu sekejap. "Teknologi ekologi atau teknologi hijau ini akan memantau misalnya, kesan perindustrian di negara kita. Kilang yang menghasilkan segala pencemaran yang menyebabkan Karam Singh Walia selalu berperibahasa di Buletin Utama tu; akan kita bangunkan satu teknologi supaya katakanlah gas nitrogen oksida tidak menimbulkan masalah kesihatan dan persekitaran."

“Oooo barang sains ke ni? Issy payah nak faham."

"Ye lah, itu dah jelaskan dalam bahasa Melayu dah ni. Tak reti jugak. Kalau terangkan dalam bahasa Inggeris tadi lagi lah Kak Sal mengaga."

Mak Cik Musalmah Lebar mengangguk tanda mulai menerima. "Lagi, apa barang teknologi hijau tu?"

"Hah, jadi antara aspek teknologi hijau itu ialah menguruskan pembuangan sampah dan sisa toksid."

"Ohhh kiranya menteri jaga sampah dan barang buangan lah ya?"

Saya nak ketawa, tetapi menahan.

"Issyy, tak sedap bunyinya Kementerian Teknologi Hijau. Warna hijau tu, issyy naik bulu roma aku."

"Jadi nak ubah jadi apa?"

"Kementerian Tenaga, Urusan Sampah dan Air. Buang 'teknologi hijau' tu."

"Elok juga. Cadangkanlah. Saya tak ada akses dengan orang besar macam Kak Sal." Saya masih menahan lucu.

Mak Cik Musalmah Lebar tersenyum, ikhlas benar terpancar di mukanya. "Nanti akak beritahu Kak Jat. Tentu dia kata akak bijak kerana bagi cadangan. Tak sabar nak tunggu esok, nak beritahu dia. Nah, ni ambil kuih talam kacng hijau ni. Panas lagi tu."

Saya masuk rumah. Mak Cik Musalmah Lebar pun masuk ke dalam.

Saya jamah sekeping talam kacang hijau. Entah kenapa, saya rasa bahagia.

http://tehranifaisal.blogspot.com/2009/04/kementerian-teknologi-hijau-apa-barang.html

0 comments:

Related Posts with Thumbnails