Sahabat

Thursday, April 9, 2009

Peminat Bola Sepak Kelantan Terima Hukuman Awal

PETALING JAYA, 8 April (Bernama) -- Peminat bola sepak Kelantan menerima hukuman awal akibat rusuhan yang berlaku di Stadium Sultan Mohamad 1V di Kota Baharu malam tadi, selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memindahkan perlawanan Liga Super melibatkan negeri itu dan Selangor pada Sabtu ini ke satu venue berkecuali.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Che Mat Jusoh berkata venue perlawanan Liga Super di antara Kelantan dan Selangor akan dipindahkan daripada Stadium Sultan Mohamad 1V ke Stadium Nasional di Bukit Jalil.

"Berdasarkan fakta awal, JKPT mendapati fakta keselamatan di Stadium Mohamad 1V sukar dikawal. Bagi mengelakkan insiden tersebut berulang dalam masa terdekat, JKPT memindahkan perlawanan tersebut ke Bukit Jalil," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hukuman sebenar, yang dijangka lebih keras, hanya akan diketahui selepas pegawai Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berdepan Lembaga Disiplin FAM pada pukul 5 petang esok di ibu pejabat FAM di Kelana Jaya.

Difahamkan, antara hukuman yang boleh dikenakan oleh Lembaga Disiplin termasuklah denda sehingga RM10,000, perlawanan membabitkan Kelantan diadakan di stadium berkecuali atau tindakan yang lebih keras, Stadium Sultan Mohamad 1V digantung daripada menjadi venue bola sepak Liga Malaysia.

Che Mat Jusoh berkata keputusan bagi perlawanan Liga Malaysia yang berikutnya yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Mohamad 1V akan bergantung kepada keputusan Lembaga Disiplin esok.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azuddin Ahmad berkata badan induk bola sepak negara itu menghantar pengerusi jawatankuasa disiplinnya, Kamarudin Abdullah ke stadium tersebut sebagai pemerhati pada perlawanan malam tadi.

"Laporan tersebut akan dibentang kepada Lembaga Disiplin esok untuk tindakan lanjut," katanya.

-- BERNAMA

0 comments:

Related Posts with Thumbnails