Sahabat

Wednesday, April 8, 2009

Penyokong Agresif, Perlawanan Bola Sepak Dicadang Di Luar Kelantan

KOTA BAHARU, 8 April (Bernama) -- Polis Kelantan akan mengadakan pertemuan bersama Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bagi membincangkan cadangan supaya perlawanan bola sepak membabitkan pasukan Kelantan pada masa depan diadakan di luar Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, SAC I Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata cadangan itu terpaksa dilakukan berikutan sikap penyokong Kelantan yang terlalu agresif sehingga mendatangkan kecederaan dan mengganggu ketenteraman awam.

"Mengambil kira dua kejadian dan tindakan agresif yang dilakukan oleh penyokong Kelantan secara berturut-turut pada perlawanan 31 Mac lalu dan malam tadi, pihak kita merasakan keadaan di Kelantan tidak terkawal.

"Justeru, atas faktor keselamatan kami akan bertemu KAFA dan mencadangkan agar perlawanan seterusnya tidak lagi diadakan di negeri ini atau diadakan di stadium berkecuali sehingga buat sementara waktu," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden rusuhan membabitkan penyokong pasukan itu selepas penjaga gol pasukan Red Warrior, Halim Napi menyerang pemain Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abdul Radzak sebaik perlawanan Piala FA separuh akhir pertama tamat di Stadium Sultan Muhammed IV, di sini malam tadi.

Dalam insiden itu, 10 kenderaan dirosakkan antaranya sebuah kenderaan pacuan roda milik polis dibakar dan kenderaan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa turut dipecahkan cermin.

Akibat rusuhan itu, tiga penyokong ditahan polis iaitu seorang guru sebuah sekolah menengah berusia 30-an, seorang pelajar politeknik berusia 20-an dan seorang pelajar sekolah menengah berusia 15 tahun, kesemuanya daripada Kota Baharu.

Abdul Rahim berkata keputusan menyetujui mahupun menolak cadangan itu terserah kepada Kafa sepenuhnya bagaimanapun polis mempunyai hak untuk menghentikan perlawanan sekiranya insiden sama berulang.

Beliau berkata polis menerima 13 laporan berhubung rusuhan itu bagaimanapun Aidil Zafuan yang diserang Halim tidak membuat sebarang laporan polis.

Meskipun tiada laporan dibuat pemain lawan, polis tetap mengadakan siasatan menyeluruh dan kini sedang meneliti rakaman video sebelum, semasa dan selepas perlawanan itu sehinggalah berlakunya insiden rusuhan itu, katanya.

Abdul Rahim berkata polis turut mengenalpasti beberapa lagi individu penyokong yang terlibat dalam kejadian itu dan tindakan sedang diambil bagi menahan individu terbabit.

Sementara itu, Annuar dalam sidang akhbar berasingan berkata KAFA menerima keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara positif jika pasukan Kelantan terpaksa bertanding di luar negeri itu atas faktor keselamatan.

Annuar berkata berkata jika Red warrior's terpaksa bermain di luar, pengurusan pasukan akan berdepan dengan masalah kewangan yang terpaksa ditanggungnya berjumlah RM400,000 sebulan.

"Kita akan menghadapi masalah kewangan dalam aspek aliran tunai. Kos untuk pengangkutan pemain, makanan dan penginapan bagi satu permainan sahaja berjumlah RM15,000 bayangkan kita ada perlawanan untuk Piala FA dan Piala Presiden. Ia melibatkan lima perlawanan dalam sebulan.

"Jadi jumlah keseluruhan adalah RM200,000 sebulan ini tidak termasuk kos pengurusan dan gaji yang juga berjumlah RM200,000 sebulan. Namun bagi KAFA apa yang lebih penting adalah pemain. Kita akan usahakan untuk mendapatkan peruntukan itu," katanya.

Mengenai tindakan terhadap Halim, beliau berkata Halim, yang telah digantungkan daripada menyertai perlawanan pasukan Kelantan bagi tempoh yang belum ditentukan, akan dipanggil oleh jawatankuasa dalaman KAFA untuk memberi penerangan berhubung tindakan beliau.

Ketika ditemui pemberita, Halim enggan mengulas lanjut mengenai tindakannya menyerang Aidil Zafuan sambil berkata: " Saya tidak mahu cakap apa-apa, tanya pengurusan."



-- BERNAMA

0 comments:

Related Posts with Thumbnails