Sahabat

Monday, December 7, 2009

Kerajaan Negeri Kaji Semula Tahap Keselamatan Di Setiap Pasaraya

KOTA BAHARU, 7 Dis (Bernama) -- Kerajaan Kelantan akan mengkaji semula tahap keselamatan bangunan di setiap pasaraya di negeri itu susulan kejadian di pasaraya KB Mall petang Ahad apabila dua mangsa terkorban dihempap sebuah kereta yang terjatuh daripada parkir di tingkat tiga pasaraya tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata pihaknya akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi memperhalusi dan membincangkan mengenai aspek keselamatan di setiap pasaraya.

"Pagi ini Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah melawat ke tempat kejadian dan hasil daripada itu beliau telah mengarahkan pihak Majlis Perbandaran Kota Baharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) supaya mengadakan mesyuarat segera Isnin.

"Kita akan panggil jabatan berkaitan seperti polis, bomba, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak pengurusan pasaraya KB Mall pada mesyuarat itu bagi membincangkan langkah seterusnya selain akan mengkaji semula tahap keselamatan bangunan pasaraya di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian di sini Isnin.

Mangsa yang maut adalah Siti Nor Amira Samsuddin, 19, dan Siti Nor Diana Azman, 18, kedua-duanya dari Kolej Kejururawatan Masterskill Cawangan Kota Baharu manakala dua lagi yang parah iaitu rakan mereka Rashidah Ahmad Lutfi, 24, dan pemandu kereta jenis Ford Laser TX3, Nor Ain Said, 19.

Kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Nor Ain itu rosak dan ditolak oleh rakan beliau yang dikenali sebagai Sabri dan hilang kawalan, merempuh tembok penghadang bumbung pasar raya itu lalu terjunam dan menghempap tiga pelajar tersebut di tingkat bawah pasar raya berkenaan.

Takiyuddin berkata antara perkara yang akan dibincangkan di dalam mesyuarat terbabit ialah bagi mendapatkan gambaran jelas daripada pihak polis dan bomba bagi mengenalpasti punca kejadian dan langkah segera yang akan diambil oleh pihak pengurusan pasaraya.

"Kita akan bincang dan dapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai kejadian itu. Kita percaya polis atau bomba sudah mengenalpasti puncanya melalui siasatan awal," katanya.

Sehingga pagi ini beliau berkata pasaraya itu masih ditutup kepada orang ramai bagaimanapun keputusan untuk membuka atau menutup pasaraya itu akan ditentukan di dalam mesyuarat terbabit.

Sementara itu Nik Abdul Aziz ketika ditemui selepas melawat tempat kejadian berkata kejadian itu adalah sesuatu yang tidak dijangka dan berlaku di luar dugaan.

"Benda ni berlaku payah nak fikir, semua kuasa Allah, berlaku dinding yang begitu tebal tiba-tiba boleh runtuh, daripada runtuh kena yang di luar dugaan kita dan juga engineer itu sendiri," katanya yang melawat kira-kira setengah jam.

Tinjauan mendapati orang ramai masih berpusu-pusu di luar pasaraya bagi melihat kejadian semalam selain menunggu arahan sama ada pasaraya itu ditutup atau dibuka untuk urusniaga Isnin.

-- BERNAMA

0 comments:

Related Posts with Thumbnails