Sahabat

Wednesday, November 4, 2009

Stadium Nasional kelebihan buat Kelantan


Stadium Nasional kelebihan buat Kelantan

KOTA BHARU - Stadium Nasional Bukit Jalil akan dimerahkan dengan warna merah lebih 60,000 para penyokong Kelantan ketika skuad Kijang beraksi dalam usaha membawa pulang Piala Malaysia Sabtu ini.

Bagi Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Anuar Musa, selaku tuan rumah dalam perlawanan itu, beliau mahu stadium itu bertukar sebagai 'Stadium Nasional Darulnaim'.

Menurut beliau, Kelantan akan mempunyai kelebihan dalam perlawanan itu nanti kerana ia adalah gelanggang kedua mereka ketika Kelantan tidak dibenarkan menjadi tuan rumah ekoran insiden rusuhan di luar stadium pada 7 April lalu.

Insiden yang menjadi sebahagian daripada titik hitam itu berlaku ketika kelantan menentang Negeri Sembilan semasa separuh akhir pertama Piala FA.

"Bukan sahaja bermain lima perlawanan di sana malah perlawanan akhir Piala FA juga kita beraksi di gelanggang itu.

"Malah dalam perlawanan akhir nanti, kita sebagai tuan rumah dan akan menggunakan jersi utama kita oleh itu saya melihat ini adalah satu kelebihan kepada kita," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Anuar berkata, dengan sokongan lebih 60,000 penyokong, ia pasti mampu membakar semangat pemain untuk menunjukkan yang terbaik dan mencipta sejarah buat bola sepak Kelantan.

Justeru tegasnya, pemain perlulah melengkapkan diri mereka dan fokus terhadap perlawanan itu nanti sama ada dari segi fizikal atau pun mental.

"Ini adalah peluang yang jarang sekali ada untuk pasukan Kelantan malah kali terakhir kita ke perlawanan akhir adalah pada tahun 1970," ujarnya.

Tambahnya, semangat dan keazaman untuk memburu kemenangan dalam diri pemain sepatutnya sama dengan aksi mereka di Kota Bharu kerana Stadium Nasional telah menjadi 'rumah kedua mereka'.

"Biarlah kita bermain dengan penuh rasa bangga. Bangga dengan pasukan kita, bangga terhadap negeri kita dan berusaha mencatat sejarah," tambah Anuar.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails